Pengeluaran KWSP dari akaun 2, bantu ringankan beban rakyat yang terjejas wabak Covid-19

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kemudahan pengeluaran caruman akaun dua Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bermula 1 April ini bagi membantu meringankan beban ditanggung rakyat.

Muhyiddin berkata inisiatif pengeluaran menerusi i-Lestari itu tertakluk kepada jumlah RM500 sebulan selama 12 bulan membabitkan pencarum bawah usia 55 tahun.


Katanya, inisiatif itu adalah sebahagian daripada Pakej Rangsangan Ekonomi dan Bantuan Rakyat yang lebih komprehensif yang akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

Katanya inisiatif itu akan membabitkan dana berjumlah RM40 billion.

“Menerusi kemudahan ini, semua ahli KWSP yang berumur bawah 55 tahun boleh membuat pengeluaran wang simpanan dalam Akaun 2 masing-masing tertakluk kepada kadar maksimum RM500 sebulan untuk tempoh selama 12 bulan.

“Permohonan boleh dibuat bermula 1 April 2020. Inisiatif ini dijangka akan memanfaatkan sehingga 12 juta ahli KWSP, dengan jumlah pengeluaran yang dianggarkan bernilai RM40 billion,” katanya.