Pengadil Elit Negara, Nazmi Dipilih Adili Aksi Uzbekistan-Thailand

Pengadil elit negara, Muhammad Nazmi Nasaruddin diberi kepercayaan dan tanggungjawab untuk mengadili pertembungan perlawanan pusingan 16 terbaik Piala Asia 2023 antara Uzbekistan dan Thailand, hari ini.

Nazmi turut dibantu dua pengadil yang juga dari Malaysia iaitu Mohamad Zairul Khalil Tan dan Mohd Arif Shamil Abd Rasid.

Perkara itu disahkan satu-satunya pakar teknikal pengadil pertandingan dari Malaysia, Subkhiddin Mohd Salleh ketika dihubungi di sini.

Sebelum ini, Muhammad Nazmi yang dibantu Mohamad Zairul dan Mohd Arif turut diberi mandat mengadili perlawanan terakhir saingan Kumpulan D antara Iraq dan Vietnam yang berkesudahan 3-2 berpihak Iraq dengan satu layangan kad merah diberikan kepada pemain Vietnam, Khuat Van Khang.

Sumber : Bernama