Penerima vaksin boleh rentas negeri dengan tunjuk bukti SMS atau MySejahtera

SURAT kebenaran polis tidak diperlukan bagi seseorang individu yang ingin merentas negeri bagi menghadirkan diri pada tarikh penerimaan vaksin.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid 19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Menerusi satu ciapan di Twitter, Khairy memaklumkan dia telah menjelaskan situasi berkenaan kepada Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Tegasnya, penerima vaksin hanya perlu menunjukkan janji temu melalui MySejahtera atau khidmat pesanan ringkas (SMS).

Katanya, “Saya baru sahaja jelaskan isu rentas daerah untuk tujuan vaksinasi dengan Ismail Sabri. Penerima vaksin TIDAK perlu surat polis. Cukup sekadar menunjuk janji temu dalam MySejahtera atau laman web atau SMS.”

Hal itu sekaligus menjawab persoalan orang ramai jika perlu merentas negeri bagi pengambilan vaksin.