Penduduk Kampung Dadong Ketakutan, Harimau Kumbang Baham Tujuh Ekor Lembu

Foto : Harian Metro

KEMAMAN – Tiga penternak lembu di Kampung Dadong berputih mata selepas tujuh ekor lembu milik mereka ditemui mati dipercayai akibat dibaham harimau kumbang sejak sebulan lalu.

Dakwa mereka, kejadian ha­nya disedari selepas menemui beberapa bangkai lembu ternakan yang diternak di kawasan ladang kelapa sawit berhampiran.

Bangkai haiwan ternakan itu ditemui dengan kesan gigitan pada beberapa bahagian badan termasuk perut, kepala dan kaki dipercayai ditinggalkan harimau kumbang.

Salah seorang penternak, Che Wan Kamal Che Wan Azhar berkata, dalam kejadian terbaharu kelmarin, seekor lembu ternakannya ditemui mati dengan kesan gigitan pada bahagian perut.

“Saya makin percaya lembu-lembu saya dibaham harimau kumbang selepas menemui beberapa kesan tapak kaki haiwan buas tersebut di sekitar kawasan kandang.

“Saya terus membuat laporan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sebab bimbang serangan mungkin berulang,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Seorang lagi penternak, Othman Kamaruddin, 50, pula berkata, serangan harimau kumbang terbabit telah menjadikan mereka dan pekerja ladang kelapa sawit dalam keadaan ketakutan.

Dia berkata, mereka bimbang berada di dalam kawasan ladang kelapa sawit lama-lama untuk bekerja kerana risau turut menjadi mangsa haiwan buas itu.

“Kalau sebelum ini kami hanya keluar dari ladang pada lewat petang atau selepas maghrib, sekarang pulang awal.

“Bimbang kami pula jadi mang­sa harimau kumbang itu. Harap haiwan buas berkenaan dapat segera ditangkap,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong yang dihubungi memberi­tahu pihaknya telah memasang perangkap bagi menangkap harimau kumbang tersebut di kawasan ladang sawit itu pada beberapa hari lalu.

“Kita mohon penternak lembu agar supaya segera menghubungi kakitangan Perhilitan sekiranya menjumpai kesan tapak kaki harimau kumbang baharu di lokasi berbeza,” jelasnya.

Sumber : Harian Metro