Pencari Madu Tersangkut Atas Pokok Tualang, Disahkan Maut Selepas Dibawa Turun

PENCARI madu warga emas ditemukan maut atas pokok tualang setinggi kira-kira 60 meter di dalam hutan Kampung Cabang Tongkat, Batu 8, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, mangsa, Che Hussin Hassan, 62 dipercayai tersangkut dan tidak sedarkan diri ketika berada di atas pokok itu untuk mendapatkan madu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Jainal@Zainal Madasin berkata, pihaknya menerima panggilan pada 1.09 petang, dan seramai 17 pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba didapati mangsa tersangkut di atas pokok berketinggian 60 meter.

“Kami menggunakan kaedah ‘Hightline Rescue’ dan sistem takal untuk membawa turun lelaki berkenaan.

“Lebih tujuh jam masa diambil untuk menurunkan mangsa, dan sebaik dibawa turun mangsa disahkan sudah meninggal dunia oleh petugas kesihatan.

“Operasi tamat sepenuhnya jam 8.14 malam termasuk membawa keluar mayat mangsa untuk diserahkan kepada pihak polis,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Katanya, operasi turut membabitkan 23 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta 25 orang awam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Sumber gambar – Kosmo Digital | Sumber laporan – Harian Metro