Pemandu wanita viral dipenjara, tunang turut didenda kerana bagi pinjam Myvi

PEMANDU wanita Perodua Myvi viral yang menyebabkan kematian seorang anggota tentera dalam kemalangan Sabtu lepas, dijatuhkan hukuman penjara enam tahun dan didenda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret, di Johor Bahru, Johor hari ini atas kesalahan memandu di bawah pengaruh dadah.

Majistret Suhaila Shafi’uddin membuat keputusan berkenaan selepas Nur Fatin Nazrah Suhaimi, 23, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan itu.

Nur Fatin Nazrah Suhaimi mengaku bersalah selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru semalam.

Majistret turut memerintahkan Nur Fatin dipenjara enam bulan lagi jika gagal membayar denda berkenaan selain hilang kelayakan untuk memegang dan memperbaharui lesen memandu selama lima tahun.

Suhaila turut memerintahkan Nur Fatin yang juga seorang pekerja kilang untuk membayar denda berjumlah RM2,800 atas tiga lagi kesalahan iaitu tidak mempunyai lesen memandu, memandu kereta yang tiada cukai jalan dan tiada insurans, selepas dia turut mengaku bersalah atas ketiga-tiga kesalahan berkenaan.

Dia turut diperintahkan menjalani penjara tambahan masing-masing selama enam, empat dan tiga bulan lagi, sekiranya gagal membayar denda berkenaan selain hilang kelayakan untuk memegang dan memperbaharui lesen memandu selama lima tahun.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki, Laskar Kanan Mohd Rizal Buseri, 31, yang juga anggota Tentera Laut Diraja Malaysia, di di Kilometer 4 Jalan Johor Bahru – Kota Tinggi, kira-kira jam 8.24 pagi, 10 Oktober lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 44 (1) (a) Akta Pengangkutan Jalan Raya (APJ) 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM20,000, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua hingga ketiga, Nur Fatin didakwa memandu dengan tiada lesen memandu, tiada lesen kenderaan dan tiada insurans di lokasi dan masa yang sama.

Atas kesalahan berkenaan, dia didakwa mengikut Seksyen 26(1) APJ 1987, Seksyen 15(1) dan Seksyen 90(1) akta yang sama, masing-masing memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000, dan manakala bagi Seksyen 90(1) memperuntukkan denda maksimum RM1,000.

Dalam mahkamah berasingan, Nur Fatin turut diperintahkan penjara tujuh bulan secara berasingan daripada hukuman terdahulu selain menjalani Perintah Pegawasan selama dua tahun, selepas mengaku bersalah memasukkan dadah dalam badannya.

Bagi pertuduhan kelima itu dia didakwa memasukkan dadah berbahaya jenis methamphetamine dan amphetamine dan dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a)Akta Dadah Berbahaya 1952, dengan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Kes berkenaan dikendalikan Pengarah Pendakwa Raya Negeri Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan Timbalan Pendakwa Raya, Noridayu Md Kassim.

Terdahulu, Nur Fatin yang dilihat lemah duduk di atas kerusi roda dibawa masuk ke mahkamah kira-kira 8.40 pagi dengan diiringi polis trafik pengiring.

Sabtu lalu, polis dilaporkan menahan pemandu Perodua Myvi wanita berkenaan selepas dia terbabit dalam kemalangan dengan dua kenderaan di Kilometer 4 Jalan Johor Bahru – Kota Tinggi, di sini, hingga menyebabkan seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) maut.

Laskar Kanan Mohd Rizal Buseri, disahkan maut di lokasi kejadian manakala Chang Ah May, 78, dilaporkan mengalami kecederaan ringan.

Dia dipercayai tidak mempunyai lesen memandu kenderaan, selain cukai jalan sudah tamat tempoh, dilaporkan dilepaskan atas jaminan polis, Ahad lalu, selepas keterangannya direkodkan. Saringan awal air kencing mendapati pemandu wanita berkenaan turut positif dadah.

Kemalangan kira-kira 9 pagi Sabtu lalu itu, membabitkan kenderaan pemandu berkenaan dengan kereta jenis Honda Accord dan Proton Iswara.

Video kemalangan maut berkenaan viral di media sosial sejak Sabtu lalu menyebabkan pemandu wanita terbabit dikecam netizen selain kes berkenaan menjadi tumpuan awam.

Dalam pada itu di mahkamah sama, tunang tertuduh, Nuraiman Fathi Mohd. Zukki, 23, dijatuhi hukuman denda RM3,300 selepas mengaku salah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan membenarkan tunangnya memandu kereta tanpa lesen, cukai kenderaan tamat tempoh dan kenderaan tiada insuran Sabtu lalu.

Tunang tertuduh, Nuraiman Fathi Mohd. Zukki, 23, dijatuhi hukuman denda RM3,300 selepas mengaku salah atas tiga pertuduhan membenarkan tertuduh memandu kereta tanpa lesen, cukai kenderaan tamat tempoh dan kenderaan tiada insuran Sabtu lalu.

Majistret Suhaila Shafi’uddin membuat keputusan itu selepas tertuduh yang juga seorang operator kilang mengaku salah atas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan secara serentak.

Mahkamah turut memerintahkan lesen memandu tertuduh digantung selama setahun serta penjara 13 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan pertama, Nuraiman dituduh membenarkan tunangnya, Nur Fatin Nasrah yang tidak mempunyai lesen memandu yang sah memandu kereta miliknya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di lampu isyarat Kilometer 4, Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi di sini pada pukul 8.26 pagi, 10 Oktober lalu.

Dia dakwa mengikut Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 26(2) akta yang sama memperuntukan hukuman denda sehingga RM2,000 dan penjara sehingga tiga bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, dia didakwa membenarkan tunangnya memandu kereta miliknya yang telah tamat tempoh cukai jalan di tempat dan masa yang sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 15(1) APJ 1987 (Akta 333/87) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 119(2) akta yang sama memperuntukan hukuman denda sehingga RM5,000, jika sabit kesalahan.

Manakala pertuduhan ketiga pula, Nuraiman dituduh membenarkan tunangnya memandu kereta miliknya yang tidak ada perlindungan insuran seperti yang dikehendaki dibawah Bahagian IV APJ 1987 (Akta 333/87) di tempat dan masa yang sama.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 90(1) APJ 1987 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 90(2) akta yang sama yang memperuntukan hukuman sehingga denda RM1,000, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Pengarah Pendakwa Raya Negeri Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abd. Rahman dan Timbalan Pendakwa Raya, Noridayu Md. Kassim manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Sumber: Harian Metro