PAS junjung kasih ke hadapan Agong atas kebijaksanaan urus kemelut

PAS menyeru semua parti-parti politik dibawah Perikatan Nasional memberikan sokongan padu dan memikul tanggungjawab dan amanah tanpa diganggu gugat bagi memastikan kerajaan berfungsi dengan baik dan efektif. 

Setiausah Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, kesemua parti politik perlu bertindak secara kolektif  dan memberikan fokus kepada kesejahteraan rakyat terutamanya ketika negara sedang berdepan situasi sukar penularan COVID-19. 

“PAS menyeru parti-parti politik yang diberikan amanah untuk membentuk kerajaan Baginda yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri , diberikan sokongan padu tanpa melibatkan sebarang ganggu gugat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.  

Dalam pada itu PAS turut merafak setinggi-tinggi junjung kasih ke hadapan Yang di-Pertuan Agong atas kebijaksanaan Baginda menyelesaikan sebarang kemelut termasuklah politik. 

“PAS yakin Baginda telah bertindak berdasarkan segala kuasa prerogratif dan budibicara sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan dan undang-undang negara atas konsep Raja Berpelembagaan,” katanya lagi.