Pemandu lori sondol Myvi kuning positif dadah

PEMANDU lori yang merempuh lima buah kenderaan sehingga salah satunya remuk teruk dalam kejadian di Jalan Ipoh petang tadi didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamin.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, kejadian berlaku selepas pemandu lori berusia 25 tahun itu gagal mengawal kenderaan yang dipandunya.

“Siasatan awal mendapati, pemandu lori warga tempatan tersebut telah memandu dari arah Jalan Duta menghala ke Sentul sebelum gagal mengawal kenderaan dan merempuh laju lima kenderaan.

“Pemandu lori berkenaan telah merempuh kenderaan lain yang sedang berhenti di lampu isyarat. Kelima-lima kenderaan terlibat adalah dua Perodua Myvi, Proton X70, Honda Hrv dan Peugeot 208.

“Pemandu yang memandu Myvi berwarna kuning berusia 45 tahun tersebut hanya mengalami kecederaan ringan pada bahagian muka dan telah mendapat rawatan di Hospital Kuala Lumpur,” katanya kepada portal Kosmo.

Sementara itu, pemandu kenderaan lain tidak mengalami sebarang kecederaan parah dan masing-masing telah mendapatkan rawatan sebelum dibenarkan pulang.

“Kita juga telah menahan pemandu lori berkenaan dan mendapati lelaki terbabit tidak berada dalam pengaruh alkohol namun positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamin.

“Pemandu lori berkenaan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk tindakan lanjut dan siasatan diklasifikasikan di bawah Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah,” jelasnya.

Video rakaman insiden ngeri tersebut mula tersebar di laman sosial sejak petang tadi.

Pemandu kenderaan terbabit bagaimanapun tidak mengalami kecederaan serius dan berjaya dikeluarkan dengan keadaan selamat.