Pemandu Didakwa Langgar Lari Dibelasah Sampai Mati, 5 Orang Ditahan

Lima orang lelaki berjaya diberkas polis selepas disyaki mengejar, mengikat dan memukul seorang pemandu kereta hingga mati.

Kejadian berpunca daripada mangsa yang didakwa terlibat dalam kejadian langgar lari seorang penghantar makanan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kesemua suspek berumur lingkungan 22 hingga 52 tahun itu ditahan di sekitar kawasan Semenyih dan Beranang.

Pihak polis menerima aduan mengenai kejadian kemalangan maut di kawasan Taman Pelangi Semenyih 2 pada jam 9.20 malam. Ketika tiba di tempat kejadian, sebuah kereta Proton Saga terbabas setelah melanggar pagar kawasan perumahan tersebut manakala pemandu kenderaan itu terbaring di atas jalan dengan kedua-dua tangannya diikat.

“Berdasarkan keterangan saksi, mangsa yang berusia 42 tahun itu dipercayai ditarik keluar dari kenderaannya, kedua-dua tangannya diikat dan dipukul sekumpulan individu sebelum beredar,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Rabu.

Tambah Mohd Zaid, pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian turut mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

Menurut Mohd Zaid, kes disiasat mengikut Seksyen 302 kerana membunuh dan Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superitendan Redzuan Mat Salleh di talian 013-7854100 dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang, Selangor, Inspektor Ammar Tahir dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik di talian 018-2194013 atau mana-mana balai polis berhampiran dengan segera.