Pemandu Audi Putih Sudah Kena “Kutip”

Pembuli jalan raya yang tular baru-baru ini sudahpun ditahan pihak polis.

Menurut laporan Berita Harian, pemandu Audi putih yang dikatakan menghalang seorang pemandu wanita mengandung tujuh bulan sambil menunjukkan tanda lucah, ditahan sekitar Permas Jaya pada jam 12 tengah hari tadi semalam.

Dalam kejadian jam 8.30 pagi Jumaat lalu kedengaran mangsa berusia 26 tahun menangis ketakutan akibat tindakan lelaki itu. Wanita berkenaan membuat laporan di Balai Polis Johor Jaya pada jam 9.41 pagi, hari sama.

Sementara itu video kelakuan pemandu biadap ini mendapat kecaman pengguna laman sosial. Ramai yang mencadangkan agar pemandu tersebut dikenakan hukuman berat dalam memberi pengajaran kepada pembuli jalan raya lain.

Kenyataan yang dikeluarkan pihak polis memberitahu penahanan ini dibuat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506/509 Kanun Keseksaan.