Pelajar ‘Intern’ Bukan Kuli, Perlu Diberi Elaun Setimpal Buat Belanja Harian

KERAJAAN tidak terlepas pandang terhadap isu kebajikan siswa yang mengikuti latihan industri di syarikat tertentu apabila ada antara mereka didapati tidak diberi sebarang elaun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelatih industri tidak sepatutnya dianggap sebagai kuli sedangkan mereka mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab ketika menimba pengalaman.

Menurutnya, sebagai penuntut, tentunya mereka turut menghadapi kekangan kewangan khususnya pelajar yang datang daripada keluarga miskin.

“Bukan gaji yang mereka tuntut kerana sebelum ini pun tiada rungutan. Berilah sedikit imbuhan meskipun tidak tinggi sekadar untuk lepas perbelanjaan harian.

“Kebajikan mereka perlu dibela kerana dengan sedikit perbelanjaan akan melegakan bebanan untuk makan dan kos,” katanya semasa berucap pada program Temu Anwar di Dewan Tuanku Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar menyeru pemain industri yang terlibat dengan penempatan pelatih mengambil langkah positif sebagai sebahagian khidmat sosial korporat dan menganggap pelatih terbabit sebahagian daripada keluarga syarikat.

“Saya amat setuju sekiranya kebajikan mereka diambil cakna. Esok, saya akan bincang hal ini dengan pelabur dan pemain industri,” katanya. 

Sumber gambar – Kosmo Digital| Sumber laporan – Kosmo! Online