Pelajar Ceria Ke Sekolah

GURU SMK Seri Perling, Mohd Afendi Mat Yusof (dua dari kiri) meminta pelajar menggunakan cecair pembasmi kuman dan mengamalkan penjarakan sosial bagi membendung wabak COVID-19

JOHOR BAHRU: Seramai 54,097 pelajar tingkatan lima dan enam di negeri ini, gembira pada hari pertama sekolah dibuka kembali, selepas lebih tiga bulan ditutup, berikutan penularan wabak COVID-19.

Tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perling, di sini, mendapati pelajar hadir ke sekolah berkenaan seawal 6.30 pagi, selepas dihantar ibu bapa dan penjaga masing-masing.

 

Suhu badan mereka disaring, sebelum dibenarkan masuk ke pekarangan sekolah dan mendaftar kehadiran mengikut kelas di kantin, sebelum menuju kelas masing-masing.

Guru juga memantau pergerakan pelajar supaya mematuhi penjarakan sosial, selain menerangkan prosedur standard operasi (SOP) termasuk tidak boleh berjalan beriringan, selain kerap mencuci tangan di sinki.

Pelajar tingkatan lima, Lishaa Jayabalan, 17, berkata beliau gembira dapat kembali ke sekolah selepas lebih tiga bulan tidak dibenarkan ke mana-mana oleh keluarganya.

“Bukannya gembira sebab dapat kebebasan keluar, namun sebenarnya lebih kepada seronok akhirnya dapat belajar secara bersemuka bersama guru dan rakan.

“Ramai pelajar termasuk saya tidak puas belajar menerusi aplikasi di internet kerana ia agak kekok dan terbatas dari segala segi,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang, meninjau pembukaan semula sekolah di SMK Seri Perling, di sini, hari ini, dengan melawat beberapa kelas serta bertanya khabar pelajar sekolah itu.

Turut hadir, Pemangku Pengarah Pendidikan Johor, Shaharuddin Saari dan Pengetua SMK Seri Perling, Chan Wei May.

Sementara itu, pelajar tingkatan lima Adriena Anisa Mohd Ravi, 17, berasa selamat berada di sekolah apabila melihat SOP ketat diamalkan, malah semua guru turut memantau pelajar setiap masa.

“Alhamdulilah, tiada kerisauan langsung berikutan kami pelajar mematuhi SOP yang ditetapkan dan akan memastikan setiap peraturan diikuti,” katanya.

Rakannya, Chew Poh Shuang, 17, berkata, ibu bapanya tidak risau melepaskannya ke sekolah.

“Saya tahu ada ibu bapa yang risau, namun ibu bapa saya tidak risau kerana sekolah mengambil inisiatif memberi penerangan kepada penjaga pelajar mengenai SOP dilakukan, sebelum sekolah dibuka, ” katanya.

Sumber : Bharian