Pasangan Kekasih Diperas Ugut, Dirogol Penjawat Awam Beruniform

 

Sepasang kekasih bukan sahaja diperas ugut ketika berada di Bukit Ampang, Kuala Lumpur, malah pelajar wanita terbabit dirogol oleh dua orang penjawat awam yang memakai uniform

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan pasangan kekasih tersebut merupakan pelajar kolej swasta.

Berikutan kejadian itu, dua anggota polis ditahan disyaki terlibat dengan kes samun dan rogol ke atas pelajar perempuan yang merupakan warga asing serta rakan lelakinya, warga tempatan masing-masing berumur 18 tahun.

Ketika kejadian, kedua-dua suspek membawa pengadu dan rakannya ke tempat berasingan.”Dalam kejadian tersebut, salah seorang suspek telah bertindak merogol wanita tersebut, manakala mangsa lelaki pula dibawa ke bank kerana perlu menjelaskan bayaran yang diminta atas kesalahan lalu lintas,” katanya.

Susulan itu kata Hussein, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya telah menangkap kedua-dua suspek berpangkat Konstabel dan Lans Koperal pada Rabu.

“Kedua-dua suspek berusia 24 dan 31 tahun itu direman tujuh hari bagi membantu siasatan

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Ampang Jaya di talian 03-42897222 bagi membantu siasatan,” katanya.

Jelasnya lagi dua kertas siasatan telah pun dibuka mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan Seksyen 395/397 akta sama.