Putera Mateen, Dayang Anisha Selamat Diijab Kabul Dengan Sekali Lafaz

Pengiran Muda Abdul Mateen Bolkiah dan pasangannya, Yang Mulia Dayang Anisha Rosnah, selamat diijabkabulkan dengan sekali lafaz dalam Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja sekitar jam 2.17 petang hari ini.

Majlis penuh istiadat itu berlangsung di Masjid Omar Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, dan turut berkenan disaksikan oleh Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah serta kaum kerabat diraja.

Ayah kepada pengantin diraja perempuan, Awang Adam Abdullah meminta Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Datuk Seri Paduka Setia Awang Salim menikahkan Dayang Anisha bersama pasangannya dengan mahar sebanyak seribu ringgit.

Sebaik sahaja lafaz kabul disahkan, tembakan meriam sebanyak 17 das dilepaskan sebagai menandakan Istiadat Akad Nikah Diraja telah sempurna. Istiadat diakhiri dengan bacaan doa selamat.

Putera Mateen, 33, merupakan anakanda Sultan Brunei, Sultan Hassanal bersama Datin Paduka Seri Mariam Abdul Aziz. Manakala, Dayang Anisha, 29, pula merupakan cucu kepada Pehin Datuk Isa, yang merupakan penasihat khas kepada Sultan Brunei.

Sumber : Astro Awani