Paksa oral seks kerana dendam

Gambar Hiasan

DISEBABKAN dendam, remaja lelaki 14 tahun bukan saja cedera ditumbuk malah dipaksa melakukan seks oral oleh sepupunya di dalam semak di tepi jalan di Sebuyau, Simunjan, 25 Januari lalu.

Difahamkan, suspek berusia 20-an itu melakukan perbuatan jijik itu ke atas mangsa kerana dendam selepas pernah dimarahi bapa mangsa kerana mahu meminjam motosikal.

Ketua Polis Daerah Simunjan, Deputi Superintendan Merbin Lisa berkata, pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa pada 26 Januari lalu.

 

Katanya, kejadian berlaku kira-kira jam 2 petang, 25 Januari lalu ketika suspek mengajak mangsa menemaninya ke Pasar Sebuyau untuk membeli rokok dengan menaiki sebuah motosikal.

“Selepas balik dari Pasar Sebuyau, suspek membawa mangsa masuk ke dalam semak tepi jalan sebuah kampung di kawasan Sebuyau.

“Suspek tiba-tiba menumbuk serta menendang mangsa dan memberitahu sekiranya ingin melepaskan diri, mangsa perlu melakukan seks oral terlebih dulu.

“Mangsa yang ketakutan dipaksa melakukan perbuatan jijik itu sebelum mencucuk mata suspek dengan jari tangan dan melarikan diri ke arah kampung bersebelahan untuk meminta pertolongan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bertindak atas laporan ibu mangsa, Merbin berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Simunjan membuat serbuan dan berjaya menangkap suspek di sebuah kampung dalam kawasan Sebuyau kira-kira jam 7.30 petang, 26 Januari lalu.

Katanya, soal siasat suspek mengaku melakukan perkara itu kerana berdendam dengan bapa mangsa yang pernah memarahinya kerana meminjam motosikal.

Suspek ditahan reman tujuh hari bermula hari ini di lokap IPD Simunjan untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (Mendatangkan Kecederaan) yang boleh dihukum penjara tidak lebih dari satu tahun atau denda dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Amang Seksual Fizikal Atas Kanak-Kanak) yang boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebat.

Sumber – Harian metro