OPR Dijangka Akan Dinaikkan Lagi Seawal Julai

MENURUT kajian penganalisis, Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka sekali lagi menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata peratusan seawal Julai ini.

Jangkaan itu dibuat bersandarkan kepada unjuran perkembangan ekonomi dipacu permintaan domestik yang kukuh berikutan pemulihan pekerjaan dan paras pendapatan lebih baik. Kadar inflasi yang dijangka kekal tinggi walaupun mula menyederhana tahun ini juga diambil kira.

BNM dalam Laporan Tahunan 2022, Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2022 serta Tinjauan Kestabilan Kewangan bagi Separuh Kedua 2022, mengunjurkan ekonomi negara berkembang antara 4.0 peratus dan 5.0 peratus bagi 2023, dipacu permintaan domestik meskipun persekitaran luaran mencabar, sementara kadar inflasi sekitar 2.8 peratus hingga 3.8 peratus.


Memetik laporan Berita Harian, Ketua Penyelidik/Ketua Ahli Ekonomi Affin Hwang Capital, Alan Tan, berkata pihaknya percaya BNM belum selesai dengan normalisasi dasar monetari pada 2023.

Beliau juga berkata, sebarang kenaikan OPR menuju ke hadapan akan terukur dan beransur-ansur, yang mana kemungkinan satu lagi kenaikan 25 mata asas kepada 3.0 peratus pada suku ketiga 2023.

“Kami percaya BNM belum selesai dengan normalisasi dasar monetari pada 2023. Kemungkinan kenaikan 25 mata asas pada suku ketiga dan berhenti selepas itu bagi 2023,” katanya dalam nota satu penyelidikan.

BNM menerusi Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) menaikkan OPR secara beransur ansur menerusi empat kali pelarasan sebanyak 25 mata asas pada mesyuarat Mei, Julai, September dan November 2022, yang mana secara keseluruhan, kenaikan OPR sebanyak 100 mata asas, menaikkan kadar itu kepada 2.75 peratus berbanding dengan paras terendah yang pernah dicatatkan iaitu 1.75 peratus pada 2020.

Manakala Ketua Penyelidik TA Securities, Kaladher Govindan dalam nota penyelidikannya juga menjangkakan kenaikan 25 mata asas lagi dalam OPR berbanding 50 mata asas yang diunjurkan sebelum ini.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan BNM hanya menaikkan kadar penanda aras pinjaman dan deposit di negara ini itu pada separuh kedua tahun ini dengan paling awal pada Julai.

Katanya, semasa taklimat BNM semalam, Penolong Gabenor, Fraziali Ismail menegaskan amat tipis untuk ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan di bawah 4.0 peratus berikutan asas ekonomi yang utuh termasuk pasaran pekerjaan yang teguh.

“Walaupun permintaan luar mungkin lemah, risiko menaik boleh timbul daripada pasaran pekerjaan lebih utuh yang dijangka menyokong perbelanjaan isi rumah, peningkatan aktiviti pelancongan serta pelaksanaan projek termasuk daripada Belanjawan 2023 yang dibentangkan semula baru-baru ini.

“Bank pusat mengunjurkan kadar pengangguran tahun ini pada 3.5 peratus dengan pengembangan pendapatan yang lebih meluas,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ekonomi dan Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata berdasarkan pemerhatiannya, kebarangkalian OPR untuk dinaikkan lagi sememangnya ada, iaitu sebanyak 25 mata asas lagi.

Katanya, unjuran makroekonomi yang dikongsi oleh BNM, kebanyakannya adalah sejajar dengan apa yang telah diumumkan oleh Kementerian Kewangan.

Beliau menjelaskan, terutama bagi angka kadar inflasi iaitu sekitar 2.8 peratus hingga 3.8 peratus bagi 2023 berbanding kadar inflasi yang dicapai tahun lalu iaitu 3.3 peratus.

“Dari segi keseimbangan risiko inflasi, ia cenderung untuk meningkat disebabkan faktor permintaan dan penawaran barangan dan perkhidmatan.

“Perkara ini seiring dengan pemulihan yang jelas di dalam pasaran buruh yang mana ekonomi telah pun mencapai guna tenaga penuh. Ini bermakna ramai rakyat Malaysia sudah mendapat pekerjaan dan menerima pendapatan.

“Justeru, berdasarkan pemerhatian saya, kebarangkalian OPR untuk dinaikkan lagi sememangnya ada. Kemungkinan 25 mata asas,” katanya.

Gambar : Central Banking | Sumber : Berita Harian