Hutang Kerajaan Persekutuan dijangka akan selesai sepenuhnya pada 2053 – MOF

KERAJAAN Persekutuan dijangka dapat menyelesaikan hutangnya pada tahun 2053 dengan mengambil kira tiada sebarang pinjaman baharu dibuat bagi tujuan pembiayaan defisit dan membiayai semula hutang yang matang mulai 2024 dan seterusnya, kata Kementerian Kewangan (MoF).

Menurut kementerian itu, hutang Kerajaan Persekutuan sehingga akhir 2022, adalah berjumlah RM1,079.6 bilion atau 60.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Daripada jumlah itu, hutang dalam negeri adalah sebanyak RM1,050.1 bilion, manakala pinjaman luar pesisir sebanyak RM29.5 bilion.

Sekiranya mengambil kira pendedahan kerajaan kepada liabiliti lain, jumlah hutang dan liabiliti kerajaan Persekutuan pada akhir 2022 adalah sebanyak RM1.45 trilion atau 80.9 peratus daripada KDNK.

Jumlah itu meliputi hutang Kerajaan Persekutuan (RM1,079.6 bilion), komitmen jaminan (RM205.9 bilion), 1MDB (RM18.2 bilion) dan liabiliti lain (RM142.2 bilion).

“Kerajaan sentiasa komited dalam memastikan bayaran khidmat hutang atau ‘debt service charges’ (DSC) dilaksanakan mengikut jadual ditetapkan.

“DSC ini diperuntukkan sebagai item tanggungan T13 iaitu satu perbelanjaan tanggungan yang terlebih dahulu diberi keutamaan daripada item perbelanjaan yang lain, seperti yang termaktub di bawah Perkara 98(1)(b) Perlembagaan Persekutuan iaitu segala caj hutang adalah di bawah tanggungan kerajaan Persekutuan,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Ia bagi menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis) yang ingin tahu mengenai kadar hutang negara yang mencecah hampir RM1.5 trilion.

Mengulas lanjut, Kementerian Kewangan berkata, DSC merangkumi bayaran faedah tahunan ke atas hutang terkumpul kerajaan Persekutuan dan lain-lain kos pengurusan berkaitan dengan terbitan kertas hutang berkenaan.

DSC pada 2018 adalah sebanyak RM30.5 bilion, 2019 (RM32.9 bilion), 2020 (RM34.5 bilion) dan 2021 (RM38.1 bilion) dan 2022, RM41.3 bilion, tambahnya.

Gambar : Blooberg | Sumber – Bernama