OKU Maut Selepas Dirempuh Hingga Melambung 3 Meter

Sebuah video mengerikan memaparkan kejadian seorang lelaki melambung selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah kereta yang memotong tular di media sosial.

Kejadian yang berlaku di Batu 21, Jalan Muar-Parit Sulong, Batu Pahat kira-kira jam 7 pagi menyebabkan mangsa Mohd Riduan Abdullah, 58, yang juga orang kurang upaya (OKU) maut di lokasi akibat parah di kepala dan badan.

Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku dipercayai apabila kereta Toyota Vios tersebut cuba memotong.

Namun bertembung dengan mangsa dan menyebabkan mangsa melambung dan cedera parah.

“Kebetulan mangsa menunggang motosikal datang dari arah bertentangan gagal mengelak lalu bertembung dengan kenderaan terbabit.

“Mangsa cedera parah di dada dan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat mangsa beralamat di Merlimau, Melaka kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk bedah siasat.

“Pemandu kereta Toyota Vios beralamat di Muar hanya cedera ringan di kepala dan kaki. Ujian saringan awal air kencing mendapati dia negatif dadah.

“Orang ramai mempunyai maklumat diminta berhubung dengan balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.” katanya.