Negara Berduka Cita, PM Ucap Takziah Buat Keluarga Mangsa

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kejadian nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang bertembung pagi tadi sebagai tragedi yang menyayat hati dan meruntun jiwa.

Jelasnya lagi menerusi satu kenyataan, tragedi berkenaan juga memberi kesan yang mendalam kepada keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan kehilangan besar buat negara.

“Takziah kepada semua keluarga mangsa yang terkorban dengan doa agar diberi kekuatan dalam menghadapi musibah ini.

“Tragedi ini ternyata memberi kesan yang mendalam kepada keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan kehilangan besar buat negara,” jelasnya.

Anwar juga mendoakan agar roh semua yang terkorban dicucuri rahmat dan diampunkan segala dosa mereka.

“Mendoakan semoga roh semua yang terkorban dicucuri rahmat dan diampunkan segala dosa mereka. Semoga Tuhan mengasihi mereka dan memberi tempat dan kedudukan yang istimewa di-sisiNya.” ujar beliau lagi.

Seramai 10 mangsa terkorban dalam satu nahas yang melibatkan dua helikopter yang terdiri model HOM dan Fennec yang berlepas dari Padang Sitiawan pada 9.03 pagi, pada Selasa.