Menyamar sebagai penarik kereta, teknik licik “kumpulan Prem” berjaya dikesan PDRM

SELANGOR – Taktik licik “Kumpulan Prem” yang menggunakan helah menyamar sebagai penarik kereta untuk mencuri kenderaan mewah akhirnya terbongkar selepas ia berjaya dihidu polis.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Suprintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, kumpulan tersebut menjadikan kenderaan mewah yang mempunyai tunggakan bayaran sebagai sasaran.

Mereka menggunakan trak penunda beserta surat kuasa penarikan daripada bank untuk menjerat mangsa.

Susulan itu, empat individu termasuk seorang wanita ditahan dalam 3 serbuan berasingan di sekitar Sungai Buloh, awal bulan ini.

Kereta mewah itu dijual dengan harga lebih rendah daripada pasaran antara RM30,000 hingga RM50,000.

7 kereta mewah yang dirampas termasuk Porsche Panamera, BMW, Mercedes dan Honda selain trak penunda.

Polis turut menyiasat kebocoran maklumat pihak bank berhubung data bayaran tertunggak sehingga dapat digunakan sindiket.

Usaha mengesan baki anggota sindiket termasuk ketua kumpulan L.Nantha Kumar, 25 tahun, dan L. Prem Kumar, 29 tahun giat dijalankan.