Menteri ingin tahu siapa penganjur ekspo tatu separuh bogel, perlu disiasat segera

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohamaddin Ketapi, akan mengambil tindakan sewajarnya ke atas penganjur Tattoo Malaysia Expo 2019 susulan peragaan bogel berlangsung pada acara tersebut.

Menurut Mohamaddin, beliau telah mengarahkan agensi di bawah MOTAC iaitu Malaysia Convention and Exhibition Bureau (MyCeB) untuk menyiasat perkara tersebut dengan segera.

“Ekspo ini bukanlah kali pertama diadakan di Malaysia dan semenjak ia mula diadakan pada 2015 seperti di Kota Kinabalu, Sabah, tiada kejadian seumpama berlaku dan dipamer ke khalayak ramai.

“Saya difahamkan ia diadakan secara tertutup tetapi ia telah melanggar ketatasusilaan. Saya telah mengarahkan agensi MOTAC, MyCeB untuk menyiasat perkara ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, Ekspo ini berlangsung 29 November dan berakhir pada hari semalam.

Bagaimanapun, beliau turut berkata bahawa laporan penuh siasatan perlu ditunggu bagi mendapatkan kepastian berkenaan isu ini dari pihak terlibat.

“Adalah satu yang mustahil bagi kementerian untuk meluluskan sebarang permohonan penganjuran yang ada elemen-elemen lucah seperti itu sebab itu bukan budaya Malaysia, lebih-lebih lagi apabila majoriti rakyat Malaysia adalah beragama Islam.

“Kita akan menanti laporan penuh siasatan dari MyCeB dan kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya mereka didapati melanggar syarat yang telah ditetapkan,” katanya.