“Menara TM bukan milik TM” – Ada yang nak beli menara ke-10 tertinggi di Malaysia ini?

MENARA TM, salah satu mercu tanda terkemuka di Kuala Lumpur ditawarkan untuk penjualan oleh pemiliknya, Menara ABS Bhd.

Dalam satu iklan tular yang disiarkan dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini, Menara TM yang menjadi struktur bangunan ikonik di ibu negara dengan 55 tingkat itu ditawarkan pada harga yang tidak didedahkan.

Bagaimanapun, TM dalam satu kenyataan berkata, ia tidak memiliki Menara TM, sebaliknya hanya menyewa bangunan yang terletak di Jalan Pantai Baharu itu.

“TM tidak memiliki bangunan berkenaan dan tidak terbabit dengan penjualannya oleh pemilik hartanah iaitu Menara ABS Bhd,” tulis kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu, TM kini sedang dalam proses memindahkan sebahagian besar pejabat korporatnya ke hartanah miliknya termasuk TM Annexe 1 dan TM Annexe 2 serta hartanahnya di Cyberjaya, sebagai sebahagian daripada program pengoptimuman syarikat untuk meningkatkan tahap kecekapan yang lebih tinggi dan menampung persekitaran kerja hibrid.

Tarikh tutup peringkat pertama bagi jualan Menara TM adalah pada jam 12 tengah hari pada 18 Mac ini.

Menerusi laporan Berita Harian, bangunan yang siap dibina oleh Telekom Research & Development Sdn Bhd pada 2001 berstatus pegangan bebas itu ketika ini dihuni sepenuhnya.

Menurut iklan berkenaan, Menara TM yang dibina sebagai bangunan pejabat lengkap dengan helipad menawarkan menara pejabat berkeluasan 989,000 kaki persegi, pusat konvensyen seluas 92,431 kaki persegi, dewan pelbagai guna, kompleks sukan, klinik, pusat fisioterapi, pusat jagaan kanak-kanak dan masjid.

Menara berkenaan dibina dengan kos sekitar AS$160 juta (RM669.3 juta) juga memiliki lebih 1,700 lot parkir turut terletak berhampiran infrastruktur sokongan seperti laluan pejalan kaki serta Stesen LRT Kerinchi dan Universiti.

Bangunan yang ketika ini menjadi ibu pejabat Telekom Malaysia Bhd (TM) itu terletak berhampiran dengan KL Sentral, Mid Valley City, KL Eco City dan Bangsar South.

Menara TM memiliki status MSC iaitu simbol kepada perkhidmatan berkelas dunia yang dianugerahkan oleh kerajaan.

WTW Real Estate Sdn Bhd adalah ejen pemasaran eksklusif bagi menara ke-10 tertinggi di Malaysia itu.

Sumber: Berita Harian