Mampu berlari dan memecut lebih pantas jika berbontot besar – Pakar

ANDA pernah berasa kurang yakin berdepan orang ramai kerana memiliki saiz punggung yang besar? Jika ya, mungkin anda tidak lagi perlu bimbang mengenainya selepas ini.

Mana lah tahu kan, dengan teknik latihan yang betul serta hasil kerja keras dan disiplin yang tinggi, tidak mustahil anda mampu menjadi raja pecut dunia di pentas Olimpik suatu hari nanti meskipun bontot anda besar.

Ini kerana percaya atau tidak, hasil kajian pakar dari Loughborough University, United Kingdom mendapati bahawa pelari pecut yang memiliki otot yang besar di bahagian punggung sebenarnya boleh berlari 44 peratus lebih pantas.

Hasil kajian pakar dari Loughborough University, United Kingdom mendapati atlet berpunggung besar mampu memecut dengan lebih pantas.

Penyelidik universiti berkenaan yang diketuai oleh Dr. Jonathan Folland mendapati abdomen berkenaan merupakan antara faktor yang mendorong atlet untuk melakukan pecutan lebih pantas meskipun tidak dilatih secara profesional.

Kumpulan penyelidik berkenaan mendakwa, hasil kajian itu dilihat bakal mencetuskan revolusi baharu dalam bentuk latihan fizikal serta pemantauan prestasi atlet pada masa akan datang.

Dalam kajian itu, penyelidik berkenaan menggunakan imej pengimbas magnetik (MRI) untuk mengenal pasti saiz 23 otot terhadap 42 individu lelaki berbeza.

Dr. Jonathan Folland

“Hasil akhir ujian mendapati mana-mana atlet yang memiliki otot abdomen lebih besar di punggung mampu memecut 44 peratus lebih pantas dalam lingkungan catatan masa antara 9.91s hingga 11.25s pada jarak 100 meter.

“Kelajuan pecutan juga dipengaruhi beberapa faktor lain seperti teknik, psikologi, nutrisi serta bentuk anatomi mana-mana atlet,” jelas Folland.

Folland berkata, usaha bagi menentukan otot mana yang wajar diberikan penekanan sememangnya dilihat cukup penting buat mana-mana atlet pecut.

Kajian lanjut sedang dijalankan sama ada ia turut memberikan impak yang sama terhadap atlet pecut wanita.

“Kami terkejut apabila mendapati saiz otot memainkan peranan utama jika ingin berlari lebih pantas terutamanya saiz otot yang lebih besar di bahagian punggung dan juga gluteus maximus.

“Implikasi logiknya cukup mudah. Mana-mana atlet yang memiliki otot sedemikian dilihat berupaya memberikan lebih banyak kuasa  sekali gus membuat pecutan yang lebih pantas,” dakwanya.

Ketika ini, kumpulan pakar universiti berkenaan sedang mengumpul data serta membuat kajian lanjut sama ada faktor itu turut mencetuskan impak yang sama terhadap pelari pecut wanita.

Sumber: Dailymail UK