Lima pelajar USAS rentung kemalangan di Terowong Menora

LIMA individu yang rentung dalam kemalangan di Kilometer 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran Terowong Menora dikenal pasti pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS).

Mereka adalah Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, pemandu kereta, Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, penumpang hadapan, Iqbal Hasnun Halimi, 23, Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, masing-masing duduk di bahagian belakang, lapor Sinar Harian.

Dekan Bahagian Hal Ehwal Pelajar USAS, Dr Ahmad Zaki Hasan ketika dihubungi mengesahkan kelima-lima mangsa merupakan penuntut universiti berkenaan.

Jelasnya, dua daripada mangsa merupakan pelajar diploma manakala tiga lagi adalah pelajar ijazah sarjana muda.

“Kesemua mereka sudah pun dikenal pasti oleh pihak hospital dan pihak polis.

“Kita juga telah maklumkan mengenai kejadian ini kepada waris untuk mereka hadir ke hospital bagi proses pengecaman.

“Kita akan cuba bantu apa yang diperlukan oleh waris, bagi memudahkan urusan,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam kejadian sekitar 12.52 malam itu, semua mangsa terperangkap selepas berlaku kebakaran melibatkan sebuah kereta dan treler.

Video kejadian turut tular di laman sosial.

Sumber: Sinar Harian