Letak Almari Kasut Halang Laluan, Anak Pukul Ibu Guna Kunci Stereng

Hanya gara-gara seorang ibu meletakkan almari kasut sehingga menghalang laluan ke bilik, seorang lelaki tergamak memukul ibu kandungnya sendiri dalam sebuah kejadian di Taman Muda Cheras pada Selasa.

Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail mengesahkan kejadian itu yang berlaku kira-kira jam 12.30 pagi ketika mangsa yang berusia 74 tahun sedang tidur.

“Suspek mendatangi mangsa sebelum memukul mangsa menggunakan kunci stereng kereta sehingga mengakibatkan kecederaan pada bahagian kepala selain dua gigi mangsa patah.

“Salah seorang anak mangsa kemudiannya bertindak membantu wanita terbabit turut dipukul suspek,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Suspek yang merupakan seorang penganggur bagaimanapun berjaya diberkas polis pada hari yang sama.

“Suspek diberkas merupakan lelaki tempatan berumur 36 tahun selain saringan dijalankan mendapati suspek bebas daripada sebarang pengaruh dadah.

“Siasatan mendapati hubungan suspek dan mangsa tidak baik sejak 10 tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, suspek direman tujuh hari untuk siasatan lanjut berhubung kejadian.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.