Lelaki Positif Dadah Mengaku Buang Helaian dan Cebisan Al-Quran

Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai membuang helaian dan cebisan al-Quran di Jalan Besar Palong, Jempol, Negeri Sembilan pada Sabtu.

Terdapat tiga laporan polis berhubung kejadian tersebut dan pihak polis berjaya menahan suspek berusia 37 tahun.

“Pada jam 8.30 malam, Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol telah menerima satu laporan daripada seorang wanita yang memaklumkan melihat seorang lelaki menaiki motosikal melemparkan helaian dan cebisan al-Quran yang telah dikoyakkan di tepi Jalan Besar Palong.

“Polis turut menerima dua lagi laporan menjumpai helaian al-Quran dan senaskhah al-Quran di atas Jalan Besar Palong,” jelas Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook.

Hasil siatan mendapati suspek mengakui terlibat dengan kejadian tersebut dan ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Suspek mempunyai dua rekod kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya dan satu rekod di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan

“Permohonan reman terhadapnya akan dibuat di mahkamah bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

“Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi dan menularkan video serta gambar di media sosial berkaitan kejadian,”katanya.

Sumber : Sinar Harian