Lelaki Pertama Di Malaysia Bakal Didakwa Atas Kesalahan Menghendap

Foto : BFM

PETALING JAYA – Seorang lelaki dipercayai melakukan gangguan seksual dalam talian terhadap jurugambar wanita pada 2018 bakal menjadi individu pertama didakwa mengikut Seksyen 507A Kanun Keseksaan atas kesalahan menghendap.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, ketika dihubungi hari ini, berkata suspek berusia 37 tahun itu akan didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam sama ada hari ini atau esok.

Pada 29 Mac lalu, Dewan Rakyat meluluskan pindaan Kanun Keseksaan menjadikan menghendap oleh penghendap (stalker) secara fizikal dan dalam talian sebagai satu jenayah.

Seksyen 507A baru dimasukkan di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574) untuk menjadikan perbuatan mengintai sebagai satu kesalahan dan mana-mana individu yang didapati bersalah, berdepan hukuman penjara maksimum hingga tiga tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, media melaporkan suspek berkenaan sedang menerima rawatan di Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL).

Sebelum ini, pihak polis mengesahkan menerima laporan berhubung gangguan seksual dalam talian dihadapi jurugambar wanita pada 2018.

Menerusi satu hantaran di Instagram baru-baru ini, mangsa berkongsi kisah bagaimana dirinya sering diganggu secara seksual oleh individu bernama ‘Shafiq Rosli’.

Mangsa mendakwa kerap menerima mesej lucah dan video memaparkan suspek berkenaan berkelakuan jelik.

Susulan itu, sebuah media tempatan melaporkan, suspek mula mengganggu mangsa sejak 2016 dengan meninggalkan komen di halaman blognya.

Suspek dikatakan mula menghendap mangsa sejak 2017, malah pernah mengekori mangsa ke sebuah restoran makanan segera dan ke rumah mangsa.

Sumber : Berita Harian