Bapa Sedih Tengok Anak Kena Dera Di Taska Dalam Video Rakaman CCTV

Foto : Berita Harian

KOTA KINABALU – Seorang pengasuh wanita dirakam berkelakuan kejam terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun di sebuah Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) di Jalan Kampung Seronok Nosoob, Penampang.

Dalam satu video tular dimuat naik, memaparkan perbuatan wanita terbabit yang dilihat menendang, menampar, menarik rambut serta memukul menggunakan pembaris di bahagian muka dan kepala mangsa di TASKA berkenaan.

Video rakaman litar tertutup (CCTV) mengenai kejadian itu tular di media sosial sejak petang tadi.

Bapa mangsa yang enggan dikenali berkata, dia sendiri tidak sanggup melihat rakaman video memaparkan anaknya ditendang, ditampar dan dipukul dengan pembaris berulang-kali.

“Saya sendiri tidak sanggup lihat rakaman video anak ditendang dan ditampar di bahagian muka dan kepala. Ibu bapa mana tidak sedih anak diperlakukan sedemikian.

“Malah, lebih memilukan ketika hendak makan, anak saya turut ditampar dan dipukul dengan pembaris berkali-kali,” katanya sebak.

Menceritakan kejadian itu, beliau berkata, sudah dua kali anaknya menjadi mangsa dera sejak bersekolah di TASKA berkenaan yang bermula pada Mac lalu.

Katanya, kejadian pertama dua minggu lalu selepas isterinya perasan terdapat kesan lebam di bahagian tangan anaknya sebaik diambil daripada TAKSA itu.

“Pada mulanya anak saya mengatakan dia dipukul oleh guru (pengasuh), namun mengubah dengan mengatakan kawan-kawannya yang pukul.

“Tetapi, seminggu kemudian isteri melihat kesan lebam lain di bahagian dada anak sebelum bertanya kepada pihak TASKA. Mereka hanya memberikan jawapan bahawa itu adalah perkara biasa kerana kemungkinan anak kami didakwa bergaduh dengan rakan-rakan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, mereka menerima jawapan itu dan menghantar anak seperti biasa ke TASKA terbabit sehinggalah anak mereka mengadu sakit di bahagian kepala.

“Semalam, sebaik menjemput anak kami di TASKA itu isteri saya mengusap ubun-ubun sebelum anak mengadu sakit di bahagian kepala.

“Isteri saya memeriksa bahagian itu dan terkejut kerana terdapat kesan luka di kepala, saya terus bertanya kepada pihak TASKA, namun mereka tiada jawapan mengenai kesan luka itu,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, dia yang tidak dapat bersabar terus meminta untuk memeriksa CCTV di TASKA terbabit sebelum melihat rakaman anaknya didera dengan ditampar dan ditendang.

“Saya kemudian membuat laporan di Balai Polis Tanjung Aru untuk tindakan selanjutnya kerana perkara ini tidak boleh dibiarkan berlaku bagi mengelakkan lebih ramai kanak-kanak yang dihantar di TAKSA itu menerima nasib sama.

“Saya berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan dan mengambil tindakan terhadap pihak TASKA ini.

“Anak saya kini sedang mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Queen Elizabeth (HQE) bagi mengenal pasti kecederaan dialami kesan daripada perbuatan kejam pengasuh itu,” katanya.

Sumber : Berita Harian