Wanita 45 Tahun Dikejar Dan Ditikam Kekasih Angkara Mahu Putuskan Hubungan

Foto : 123

AMPANG – Gara-gara tidak berpuas hati cinta terputus di tengah jalan, seorang wanita cedera ditikam kekasihnya dalam kejadian di tempat letak kenderaan sebuah kondominium di Bukit Antarabangsa, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan kejadian itu pukul 2.52 pagi.

Ketika kejadian, mangsa yang berusia 45 tahun berada dalam kereta sebelum didatangi teman lelakinya.

“Suspek bertindak memancitkan tayar sebelum memecahkan cermin hadapan kereta mangsa. Wanita itu melarikan diri, namun suspek mengejar dan mencederakan kekasihnya.

“Mangsa yang merupakan orang tempatan luka di bahagian tengah, kiri perut dan lengan kiri sebelum dibawa ambulans ke Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut  Mohd. Azam, punca suspek menyerang mangsa adalah kerana tidak berpuas hati apabila wanita itu ingin memutuskan hubungan mereka.

“Mangsa baru mengenali suspek sejak tiga bulan lalu melalui laman sosial,” katanya.

Mohd. Azam berkata, suspek berusia 41 tahun itu sudah dikenal pasti identitinya dan usaha mengesan serta menangkap lelaki itu masih dijalankan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan cedera dengan menggunakan senjata.

Sumber : Kosmo