Bicara 28 Ogos, Mahkamah Benarkan Permohonan Yasin Panggil Pakar Psikiatri

Foto : Kosmo

PETALING JAYA – Pihak pembelaan dalam tiga pertuduhan dadah penyanyi dan komposer Yasin Sulaiman akan memanggil Pakar Perunding Forensik Psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta dalam perbicaraan kes itu di Mahkamah Sesyen di sini.

Pakar Perunding Forensik Psikiatri yang akan dipanggil pihak pembelaan itu itu ialah Dr. Ian Loyd Anthony.

Dalam prosiding pengurusan kes di hadapan Hakim Faiz Dziyauddin hari ini, peguam Ariff Azami Hussein yang mewakili Yasin berkata atas sebab itu, pihaknya memohon budi bicara mahkamah supaya satu sepina dikeluarkan terhadap pakar terbabit yang akan dijadikan sebagai saksi.

“Tarikh bicara pada 28, 29 Ogos ini diteruskan, itu yang pertama. Keduanya, kami mohon budi bicara mahkamah untuk satu sepina dikeluarkan terhadap saksi berkenaan.

“Mohon satu sepina dikeluarkan oleh mahkamah bertujuan perbicaraan kes pembelaan dan kami percaya ia tidak dibantah pihak pendakwaan,” katanya.

Mendengar perkara itu, Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin memaklumkan pihak pendakwaan tidak membantah dengan permohonan pihak pembelaan tersebut.

“Perbicaraan selama dua hari (28 dan 29 Ogos) diteruskan dan permohonan sepina oleh peguam dibenarkan,” kata hakim itu.

Terdahulu, Raja Zaizul memaklumkan seramai 10 saksi pendakwaan dijangka akan dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan itu.

Tarikh perbicaraan pada 28 dan 29 Ogos seperti yang ditetapkan sebelum ini diteruskan. Pihak pendakwaan akan memanggil lapan ke 10 saksi terhadap kesemua pertuduhan yang akan dibicarakan,” kata Raja Zaizul.

Dalam prosiding sebelum ini, mahkamah sama diberitahu Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman, 48, disahkan tidak waras ketika kejadian namun layak dibicarakan atas ketiga-tiga pertuduhan dadah yang didakwa ke atasnya.

Menurut pihak pendakwaan, meskipun layak dibicara, terdapat tiga kesimpulan hasil pemeriksaan psikiatri itu yang mana Yasin mengalami Bipolar disorder, (keceleruan efektif), Hypertiroidisme, selain tidak waras semasa kejadian.

Sebelum ini, Yasin telah diperintah ke Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, Ulu Kinta, Perak.

Mahkamah Sesyen memerintahkan demikian selepas membenarkan permohonan pihak pembelaan tertuduh mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Pada masa sama turut dikemukakan lima laporan perubatan yang antara lainnya mengesahkan sejarah kesihatan mental Yasin yang menghidap penyakit Bipolar Disorder Jenis 1 sejak 2007.

Sumber : Kosmo