Lelaki Maut Tersepit Pintu Bank Dari Tengah Malam Hingga Pagi

Seorang lelaki berusia sekitar 50-an tanpa identiti ditemui mati akibat tersepit pada pintu shutter (gelangsar) sebuah bank di Kota Kemuning, Shah Alam.

Rakaman CCTV menunjukkan mangsa tiba di tempat kejadian pada jam 12.01 tengah malam sebelum pintu automatik tertutup dan menyebabkan leher mangsa tersepit antara pintu shutter dan lantai sebelum ianya terbuka semula secara automatik pada jam 6 pagi tadi.

“Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian mendapati mangsa dilihat berbaring di hadapan pintu masuk ke ruang mesin ATM dipercayai dalam keadaan mabuk pada jam 11.48 malam.

“Pada 12.01 tengah malam, pintu ‘shutter’ ruang mesin ATM itu tertutup secara automatik menyebabkan leher mangsa tersepit antara pintu shutter dan lantai sebelum ia terbuka (secara automatik) semula pada jam 6 pagi,” jelas Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim.
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Pembantu Perubatan Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.