Home Berita Semasa Lelaki Mati Dipukul di Semenyih Positif Dadah, Ada 10 Rekod Jenayah Lampau

Lelaki Mati Dipukul di Semenyih Positif Dadah, Ada 10 Rekod Jenayah Lampau

Siasatan awal polis mendapati lelaki berumur 42 tahun yang maut dipercayai akibat dipukul selepas kejadian langgar lari di Semenyih Selasa lepas, positif dadah jenis ganja dan methamphetamin, kata Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan.

Beliau berkata lelaki itu juga didapati mempunyai 10 rekod lampau membabitkan dadah serta satu rekod dikehendaki, juga bersabit kesalahan dadah.

“Hasil bedah siasat mendapati tiada kesan kecederaan yang ketara pada badan lelaki itu yang boleh membawa kepada kematian, namun kita masih lagi menunggu ujian makmal pathologi untuk mengesan punca sebenar kematian,” katanya ketika diminta mengulas perkembangan siasatan berhubung kejadian itu.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Petaling Jaya antara ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid kepada ACP Shahrulnizam Jaafar di sini hari ini.

Selain itu Hussein berkata polis juga telah menahan dua lagi suspek lelaki berusia 23 dan 40 tahun di sekitar Kajang semalam bagi membantu siasatan, dan mereka dijangka direman bagi membantu siasatan.

“Keseluruhannya polis telah menahan tujuh individu bagi membantu siasatan dalam kes ini. Dua pemandu yang terlibat dalam kemalangan melibatkan lelaki itu juga telah membuat laporan polis,” katanya.

Dalam kejadian pada 9.20 malam itu, sebuah kereta Proton Saga terbabas dan melanggar pagar kawasan perumahan berkenaan sebelum pemandunya ditarik keluar oleh sekumpulan lelaki lalu dipukul, diikat dan dibiarkan terbaring di atas jalan berhampiran keretanya.

Pihak ambulans yang tiba kemudiannya mengesahkan pemandu itu meninggal dunia di lokasi kejadian.

Sumber : BERNAMA