Lelaki Goda Isteri Orang Boleh Dipenjara Tiga Tahun di Terengganu

Lelaki yang menggoda isteri orang di Terengganu boleh dikenakan tindakan undang-undang dan berdepan hukuman denda RM 5 000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Walaupun sebelum ini Mahkamah Persekutuan telah memutuskan Seksyen 498 Kanun Keseksaan tidak lagi boleh diguna pakai dalam prosiding jenayah, namun menurut Ketua Hakim Syarie Terengganu, Datuk Wan Mohd Zakri perbuatan menggoda isteri orang merupakan kesalahan syariah mengikut Seksyen 43 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Terengganu 2001.

“Mana-mana lelaki yang terlibat dengan kesalahan itu boleh didenda RM5,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali. Mahkamah juga boleh memerintahkan isteri itu kembali kembali kepada suaminya ini dimana mengikut hukum syariah lelaki atau perempuan ini kedua-duanya berdosa.

“Ia kerana isteri adalah milik suami, ada yang mengatakan isteri bukan harta suami tetapi dalam syariah isteri adalah milik suami dan suami berhak bertanggungjawab ke atasnya daripada A hingga Z,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Pendahuluan Nafkah kepada 21 ibu tunggal pada Khamis.

Tambah Wan Mohd Zakri lagi, kesalahan menggoda isteri orang juga antara punca kes penceraian direkodkan di negeri itu.

“Isu suami goda isteri orang ada di Terengganu tetapi bukan dalam bentuk pendakwaan, tetapi membabitkan penceraian.

“Ada antara alasan penceraian yang digunakan ialah kerana isteri telah mengikut orang lain keluar daripada rumah dan akhir sekali menuntut penceraian,” katanya.

Sumber : Kosmo