Lebih 600 Klinik Swasta Berdaftar Di Bawah Skim Perubatan Madani

Foto : Kosmo

PETALING JAYA – Lebih 600 klinik swasta telah berdaftar di bawah Skim Perubatan Madani sehingga 1 Ogos lepas dan jumlah itu dijangkakan akan meningkat pada masa akan datang.

Syarikat pelaksana, ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. (ProtectHealth) dalam satu kenyataan memaklumkan, sejak skim ini diperkenalkan, pihaknya secara proaktif mengadakan sesi libat urus dengan wakil-wakil negeri terlibat.

“Antaranya agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan-pertubuhan serta pemimpin komuniti di seluruh negara.

“Tumpuan utama sesi libat urus ini adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang manfaat skim ini dan usaha kerajaan untuk meningkatkan akses kepada perkhidmatan rawatan primer akut di sektor swasta bagi golongan berpendapatan rendah.

“Sehingga kini, lebih daripada 28,000 isi rumah B40 telah mendapatkan rawatan di bawah Skim Perubatan Madani,” kata kenyataan itu.

Menurut ProtectHealth, Skim Perubatan Madani menyediakan rawatan pesakit luar kes-kes akut secara percuma kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) iaitu golongan berpendapatan rendah boleh mendapatkan rawatan di klinik perubatan swasta (GP) yang berdaftar di bawah skim tersebut.

“Antara wakil-wakil yang terlibat adalah Yayasan Wilayah Persekutuan, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra), Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (Pertiwi) dan beberapa agensi lain.

“Sehingga Julai 2023, ProtectHealth telah mengadakan taklimat kepada 70 Klinik Kesihatan (KK) dan 186 klinik GP di 10 daerah.

“Dalam masa yang sama, enam taklimat telah diadakan kepada Persatuan Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) atau Projek Perumahan Awam (PPA) dan komuniti setempat yang mempunyai kepadatan penduduk B40 yang tinggi seperti PPR Pangsapuri Sri Kasih, PPR Taman Kajang Sentral dan PPR Taman Medan Jaya,” jelasnya kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, ProtectHealth berkata, skim ini juga sedang dalam perancangan untuk diperluaskan ke daerah lain termasuklah di Kelantan (Kota Bharu dan Pasir Mas), Terengganu (Kuala Terengganu dan Kuala Nerus), Pahang (Kuantan) dan Melaka (Melaka Tengah). 

Sumber : Kosmo