Dua Ejen Along Dicekup Sedang Menawarkan Pinjaman Wang Di Pasar Raya

Foto : Kosmo

KOTA BHARU – Dua lelaki yang dipercayai ejen pinjaman wang tanpa lesen atau ah long dicekup semasa menawarkan pinjaman wang di sebuah pasar raya, di sini Khamis lalu.

Kedua-dua suspek berusia 53 dan 30 tahun itu ditahan kira-kira pukul 12.10 tengah hari semasa polis menjalankan operasi dan pemerhatian di kawasan tersebut.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata, bertindak atas aduan dan risikan, seramai sembilan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan telah menjalankan Op Vulture di sekitar bandar Kota Bharu.

Menurutnya, anggota polis melihat kedua-dua suspek berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan sebuah pasar raya sebelum terus bertindak menahan mereka.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, mereka disyaki menjalankan kegiatan memberi pinjaman wang tanpa lesen.

“Kedua-dua suspek juga didapati sedang menawarkan iklan kepada orang ramai di kawasan pasar raya berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di IPK Kelantan, di sini hari ini.

Muhamad Zaki memberitahu, polis turut merampas pelbagai kad sim, kad bank, telefon bimbit, alat penyiar khidmat pesanan ringkas (SMS), risalah pinjaman dan wang tunai.

Sumber : Kosmo