Langganan TwitterBlue dilancarkan minggu depan, kenakan caj bermula RM35 sebulan

TAYFUN COSKUN/ANADOLU AGENCY VIA GETTY IMAGES

SYARIKAT media sosial terkenal Twitter akhirnya mengumumkan akan melancarkan semula perkhidmatan langganannya minggu depan, termasuk sistem untuk mengesahkan kesasihan akaun di platform berkenaan, lapor Kosmo.

“Kami melancarkan semula @TwitterBlue hari ini dengan langganan di web pada harga AS$8 (RM35.23) sebulan atau menerusi iOS (Apple) pada harga AS$11(RM48.44) sebulan yang menawarkan ciri-ciri khusus untuk pelanggan sahaja, termasuk tanda semak biru,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Ciri tersebut adalah percuma sebelum ini namun ia dikhaskan untuk organisasi dan tokoh awam dalam usaha mengelakkan penyamaran dan penyebaran maklumat salah dan palsu.

Tanda semak biru pada akaun menunjukkan ia telah disahkan oleh Twitter.

Selepas membeli Twitter pada Oktober lalu, jutawan terkenal Elon Musk mengumumkan hasrat mempelbagaikan sumber pendapatan syarikat tanpa bergantung kepada iklan semata-mata.

Lantas Musk beralih kepada formula pembayaran baharu untuk ciri premium.

Versi pertama dilancarkan 10 hari selepas Musk mengambil alih Twitter awal November lalu tetapi ia menimbulkan kekecohan apabila banyak akaun palsu muncul menyamar sebagai selebriti atau syarikat sehingga versi tersebut segera digantung.

Di bawah tawaran baharu itu, akaun yang mahu menggunakan tanda semak biru akan disemak semula oleh Twitter.

Tanda semak akan menjadi warna emas untuk perniagaan dan kelabu untuk organisasi kerajaan.

Pelanggan juga akan dapat mengakses fungsi seperti mengubah ciapan selepas ia diterbitkan dan keistimewaan memuat turun video berkualiti tinggi.

“Terima kasih atas kesabaran anda kerana kami telah berusaha untuk menjadikan Blue lebih baik,” kata Twitter. 

Sumber: Kosmo