Laman Sesawang Jabatan Imigresen Malaysia Digodam ‘CaptainSmok3r’

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengesahkan bahawa laman sesawang rasmi agensi itu digodam oleh pihak menggelarkan dirinya sebagai ‘CaptainSmok3r’ jam 2 pagi, hari ini.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata, serangan siber itu berbentuk ‘defacement’ dan mengakibatkan muka hadapan laman sesawang JIM ditukar kepada paparan imej lain.

“Bagaimanapun, capaian-capaian yang berkaitan dengan perkhidmatan JIM seperti myIMMs, SSPI dan lain-lain tidak terkesan dengan insiden itu.

“JIM sudah mengambil langkah pembetulan serta-merta dengan menutup capaian laman sesawang daripada akses orang ramai dan melakukan kerja-kerja baik pulih serta konfigurasi keselamatan laman web,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Ruslin berkata, Bahagian Teknologi Maklumat JIM sudah mengadakan perbincangan dan kerjasama bersama pihak Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan CyberSecurity Malaysia (CSM) bagi membantu untuk tindakan pengukuhan laman web. “Laman sesawang JIM dijangka pulih dan boleh diakses semula oleh orang ramai dalam masa terdekat (petang ini).

“Jabatan ini menegaskan tiada sebarang kebocoran maklumat berlaku dan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat andaian atau spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan dan mengganggu ketenteraman awam,” katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan laman sesawang JIM dihentikan operasi sementara untuk diselenggara selepas dipercayai digodam.

Gambar : imi.gov.my | Sumber : Harian Metro