Kasut Air Jordan ‘Last Dance’ Michael Jordan Dijangka Akan Memecah Rekod Lelongan

Syarikat lelongan terkemuka, Sotheby’s memaklumkan kasut dipakai bekas pemain bola keranjang terkenal, Michael Jordan dalam kejuaraan ‘Last Dance’ dijangka memecah rekod dengan menjadi kasut sukan paling mahal pernah dilelong.

Memetik laporan Berita Harian, bidaan diterima bagi kasut Air Jordan XIIIs sudah mencecah AS$1.8 juta (RM8 juta) hanya beberapa jam selepas lelongan bermula.

Nilai itu sudah pun melepasi rekod bidaan tertinggi bernilai AS$1.4 juta (RM6.2 juta) membabitkan sepasang kasut Nike Air Ships milik Jordan yang dilelong pada 2021.

Beberapa pihak menjangkakan bidaan kasut Air Jordan XIIIs itu mampu mencecah sehingga AS$4 juta (RM17.6 juta) menjelang penutupan sesi bidaan pada 11 April depan.

Kasut sukan itu dipakai oleh Jordan ketika musim kejuaraan terakhirnya bersama Chicago Bulls pada 1997-1998, yang digelar ‘Last Dance’.

Jordan memakai kasut itu ketika beliau menjaringkan 37 mata dalam perlawanan kedua siri akhir NBA 1998, sekali gus memastikan Chicago Bulls berjaya menumpaskan Utah Jazz 93-88.

Michael Jordan | Gambar : NBA

Menurut Sotheby’s, sebaik tamat perlawanan kedua itu, Jordan memberikan kasut berkenaan kepada seorang budak lelaki di dalam bilik persalinan sebagai tanda terima kasih kerana menemukan jaketnya yang hilang.

Di akhir musim, Chicago Bulls berjaya menjuarai kejohanan, dan kisah kejayaan itu diceritakan semula dalam siri dokumentari ‘Last Dance’ yang diterbitkan pada 2020, mengisahkan mengenai musim terakhir Jordan bersama pasukan itu.

Kejuaraan NBA itu juga adalah yang keenam buat Jordan dan kali kelima beliau dipilih sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) NBA.

Tahun lalu, jersi dipakai Jordan dalam perlawanan pertama dijual pada harga AS$10.1 juta (RM44.5 juta), sekali gus menjadikannya ‘memorabilia’ sukan paling mahal pernah dilelong.

Jordan memenangi enam kejuaraan akhir NBA, dua pingat emas Olimpik dan pelbagai anugerah lain, serta dianggap sebagai antara atlet terhebat sepanjang zaman.

Gambar : BBC | Sumber : Berita Harian