KKM Akan Terus Menjalankan Penguatkuasaan Larangan Merokok Di Premis Awam, Kedai Makan

Foto : VOCKET

Kementerian Kesihatan (KKM) tetap meneruskan aktiviti penguatkuasaan larangan merokok di premis awam, termasuk kedai makan.

Penguatkuasaan itu seiring dengan apa yang termaktub dalam Peraturan 11 (1), Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 Pindaan 2018, lapor Berita Harian.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata penguatkuasaan dijalankan secara bersepadu membabitkan pelbagai agensi penguat kuasa di seluruh negara.

Ia merangkumi kerjasama KKM dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Di samping itu, aktiviti penguatkuasaan secara rutin dilaksanakan sepanjang tahun. Bagi 2022, sebanyak 201,265 premis telah dilawati dan 67,123 notis kesalahan merokok di bawah Peraturan 11(1), PPKHT 2004 dikeluarkan dengan nilai kompaun RM 16.78 juta.

“Manakala bagi tempoh 1 Januari 2023 hingga 30 April 2023, sebanyak 78,920 premis dilawati dan 32,473 notis kesalahan merokok di bawah Peraturan 11(1), PPKHT 2004 telah dikeluarkan dengan nilai kompaun sebanyak RM 8.1 juta,” katanya dalam jawapan lisan yang dipaparkan di laman web Parlimen, semalam.

Beliau menjawab pertanyaan Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) yang meminta menteri menyatakan sejauh mana penguatkuasaan larangan merokok di premis awam seperti kedai makan dalam usaha meningkatkan kesedaran tentang bahaya merokok.

Mengulas penguatkuasaan larang merokok di tempat makan, Dr Zaliha berkata pada tahun lalu KKM mengeluarkan 30,648 notis kesalahan merokok.

Tambahnya, notis itu dikeluarkan di bawah Peraturan 11 (1)(d) dengan nilai kompaun sebanyak RM7.6 juta.

“Bagi tempoh 1 Januari hingga 30 April lalu pula, sejumlah 14,872 notis kesalahan merokok telah dikeluarkan dengan nilai kompaun berjumlah RM3.7 juta,” katanya.

Berdasarkan jumlah aduan yang diterima, Dr Zaliha berkata, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) akan merancang lokaliti hotspot dan menjalankan pemeriksaan di premis-premis yang berkaitan.

Oleh itu, beliau menegaskan KKM akan terus mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan larangan merokok di tempat-tempat larangan merokok

“Aduan yang diterima melalui talian hotline akan dikumpulkan dan dipanjangkan kepada JKN masing-masing bagi tindakan seterusnya,” katanya.

Sumber : Berita Harian