Bayi Baru Lahir Ditemui Ditinggalkan Di Atas Reban Ayam

Foto : Berita Harian

Seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan ditemui ditinggalkan di atas reban ayam di kawasan Kampung Jawa, di Lahad Datu, semalam.

Bayi malang itu ditemui seorang lelaki berusia 51 tahun ketika melihat reban ayam miliknya, kira-kira jam 6.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dr Rohan Shah Ahmad berkata, sebaik menerima laporan mengenai kejadian itu, sepasukan pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu digerakkan ke lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut.

“Bayi itu dipercayai baru dilahirkan dan ditinggalkan tanpa sebarang pakaian di atas reban ayam milik seorang penduduk kampung berkenaan.

“Bayi seberat tiga kilogram kemudian dibawa ke Hospital Lahad Datu bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, polis sedang berusaha mengesan suspek dalam kejadian ini.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini boleh menghubungi terus Hotline IPD Lahad Datu di talian 089-881255 atau pegawai penyiasat kes Inspektor Sophia Thomas Kasau di talian 013-9392505.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana penjaga yang bertanggungjawab menjaga bayi itu dengan niat hendak membuang bayi terbabit. Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sampai tujuh tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya,” katanya.

Sumber : Berita Harian