Kes Kemalangan Maut Lapan Penunggang Basikal Lajak, Sam Ke Ting Tidak Bersalah

Mahkamah Rayuan telah membebaskan kerani Sam Ke Ting atas kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja yang menunggang basikal lajak pada tahun 2017.

Memetik laporan Berita Harian, panel tiga hakim diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Azman Abdullah membuat keputusan sebulat suara sekali gus mengetepikan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Tinggi terhadap Ke Ting.

Hadhariah ketika membaca penghakimannya berkata, keputusan itu dibuat atas satu alasan utama iaitu pertuduhan ke atas Ke Ting adalah cacat.

Beliau berkata rayuan itu perlu dibenarkan dan tiada isu berbangkit mengenai prima facie.

Pada 13 April tahun lalu, Mahkamah Tinggi Johor Bahru memerintahkan kerani itu dikenakan hukuman berkenaan atas kesalahan dilakukannya pada 2017.

Berdasarkan pertuduhan, Sam Ke Ting didakwa melakukan kesalahan di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, pada jam 3.20 pagi 18 Februari 2017.

Remaja yang maut ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, selain lesen memandu digantung jika sabit kesalahan.

Sumber : Berita Harian | Gambar : NSTP/Nur Aisyah Mazalan