Kelantan Tidak Pernah Dipinggirkan, Malah Terima Peruntukan Tertinggi Sekali – PM

Foto : Office Holidays

KUALA LUMPUR – Dakwaan mengatakan negeri Kelantan dianaktirikan oleh Kerajaan Persekutuan adalah tidak benar sama sekali.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan berdasarkan fakta, Kelantan sebenarnya merupakan negeri yang menerima peruntukan tertinggi daripada Kerajaan Persekutuan.

Foto : The Star

“Itu pandangan yang tidak ikut fakta. Saya sudah beritahu peruntukan negeri Kelantan adalah yang paling tinggi.

“Kita bantu tebatan banjir, kita bantu bantu bagi air, sepatutnya dia tanya bagaimana dengan pengurusan negeri Kelantan, pemimpin muda patut lebih berani membetulkan masalah dalaman di samping memberikan cadangan,”katanya.

Tambah Datuk Seri Anwar, semua cadangan penting kerajaan negeri Kelantan diterimanya termasuk tebatan banjir, air bersih, pembangunan negeri.

Malah jelasnya, peruntukan yang diberikan oleh Kerajaan Perpaduan sekarang lebih banyak daripada sewaktu PAS dan Bersatu dalam kerajaan.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan media mengenai dakwaan Penolong Setiausaha Agung PAS Mohd Syahir Sulaiman dalam sesi debatnya bersama Menteri Ekonomi Rafizi Ramli malam tadi, bahawa negeri itu tidak pernah merasai nikmat ‘federalisme’ akibat pimpinan negeri berbeza dengan persekutuan.

Dalam pembentangan Belanjawan 2023, pemberian dan bantuan kewangan kepada Kelantan ditambah menjadi RM351.5 juta bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan berbanding belanjawan sebelum ini.