Kanvas melayang, syarikat kenal pasti pemandu lori

SYARIKAT KDEB Waste Management (KDEBWM) telah mengenal pasti pemandu lori yang menyebabkan kemalangan membabitkan sebuah motosikal dinaiki dua lelaki di Lebuh raya Cyberjaya menghala ke Kajang semalam.

Menurut Pengarah Urusan KDEBWM, Ramli Mohd Tahir, kejadian berlaku apabila kain kanvas berkenaan dikatakan terputus mengakibatkan ia terbang mengenai penunggang motosikal.

Katanya lagi, individu terlibat mengemukakan laporan insiden berkenaan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang hari ini

“Pihak kami menyerahkan sepenuhnya segala siasatan lanjut serta tindakan mengikut peruntukan undang-undang kes ini kepada pihak polis.

“Kami amat memandang serius insiden ini dan akan mengambil tegas ke atas subkontraktor kami yang didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan termasuk menamatkan kontrak perkhidmatan mereka sekiranya perlu,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, segala kos perubatan dan ganti rugi akan dibuat pihaknya melibatkan dua mangsa yang terlibat dalam kemalangan tersebut.

Pada Rabu, tular rakaman video berdurasi 45 saat menunjukkan kanvas lori melayang dan terbang ke arah motosikal dinaiki dua lelaki sebelum hilang kawalan dan melanggar tayar sebuah treler di lorong kiri.

Kedua-dua mangsa terselamat dan dilihat segera bangun selepas kemalangan bagi mengelak dilanggar kenderaan lain.