Set bungkusan makanan bersama wang RM50 bukan di Melaka

TULAR baru-baru ini mengenai set bungkusan makanan yang turut diselitkan bersama wang kertas berjumlah RM50 yang didakwa berlaku di Melaka.

Bagaimanapun, Polis Melaka menafikan dakwaan kejadian tersebut yang berlaku di negeri itu kononnya ia bakal diagihkan kepada golongan warga emas.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Azlan Abu menegaskan, pengagihan bungkusan makanan itu juga tiada kaitan dengan aktiviti meraih undi yang dikaitkan dengan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Semalam telah tular satu gambar yang dimuat naik oleh beberapa akaun media sosial Facebook yang menunjukkan terdapat beberapa bungkusan makanan telah diselitkan wang tunai.

“Hasil semakan oleh pihak polis bagaimana mendapati agihan bantuan makanan dan wang tunai RM50 kepada orang- orang tua itu bukan berlaku di Melaka dan tidak terkesan sebarang aktiviti meraih undi atau apa jua lambang mahupun elemen parti politik di dalam kandungan video tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Setakat ini katanya, polis belum menerima sebarang laporan polis berhubung kejadian tersebut.

Bagaimanapun, polis, katanya, tetap menjalankan siasatan dan membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Sebelum ini tular video berdurasi dua minit 17 saat memaparkan kumpulan warga emas sedang beratur bagi mengambil bungkusan makanan yang diselitkan dengan wang tunai RM50.