Kantoi sumbat dadah dalam bungkusan teh

DUA suspek lelaki direman selama enam hari bermula 13 April selepas didapati terlibat dengan sindiket mengedar dadah jenis Methamphetamine pada 12 April lalu.

Cuba mengaburi pihak berkuasa, dadah tersebut diletakkan dalam bungkusan teh.

Tangkapan dibuat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor di kawasan parkir kereta sebuah pasar raya  Bandar Mahkota Cheras.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Ahmad Jefferi Abdullah berkata, kesemua dadah yang dirampas dipercayai untuk pasaran sekitar Lembah Klang.

“Nilai keseluruhan dadah dirampas berjumlah RM477,360 manakala nilai sitaan berjumlah RM38,500,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengikut jumlah berat dadah berkenaan, ia mampu dibekalkan kepada seramai 26,520 pengguna dadah tersebut bagi tempoh sehari.

Tambahnya lagi, kedua-dua suspek yang ditahan salah seorang daripadanya mempunyai dua kes rekod jenayah lampau.

Bagaimanapun hasil ujian air kencing terhadap kesemua suspek didapati negatif dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sabit kesalahan boleh membawa hukuman gantung sampai mati, penjara seumur hidup, atau kurang daripada 15 sebatan.