Johor Akan Diharamkan Penggunaan Polisterina Tahun Depan

Kerajaan Johor akan mengharamkan penggunaan bekas makanan dan minuman polisterina mulai tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri, Tan Chen Choon, berkata langkah itu terkandung dalam inisiatif rendah karbon yang digariskan Majlis Rendah Karbon Johor yang perlu dilaksanakan semua pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Dasar ini akan bermula pada Januari depan dengan enam bulan pertama adalah tempoh pendidikan.

“Namun penguatkuasaan hanya akan dilaksanakan bermula Julai 2020.

“Bagaimanapun ia tidak membabitkan pengharaman penyedut minuman kerana menerusi dasar itu penyedut minuman hanya boleh diberi oleh premis atas permintaan daripada pelanggan, dan bukan diberikan secara automatik,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Semalam ketika membentangkan Belanjawan Johor 2020, Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal, berkata kerajaan negeri akan melaksanakan lima inisiatif rendah karbon mulai 2020.

Ia termasuk inisiatif menghindari penggunaan bekas pembungkusan makanan dan cawan minuman polisterina mulai Januari tahun depan.

Sebelum ini Johor pernah bercadang menguatkuasakan penggunaan bahan pembungkusan boleh urai (biodegradable) mulai Januari 2018 bagi menggantikan plastik dan polistirena.

Ketika itu, kerajaan Johor mahu kajian lengkap dilaksanakan sebelum mewajibkannya berikutan tidak mahu penguatkuasaan dijalankan secara terburu-buru kerana ia memerlukan perancangan dan kesedaran masyarakat.

Namun menurut laporan Berita Harian, cadangan berkenaan tertangguh selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih Kerajaan Negeri.

Sumber : Berita Harian