JKM Cari Waris Atau Individu Yang Layak Jaga Kanak-Kanak Mangsa Dera Ibu Kandung Dan Pasangan

Foto : Kosmo

JOHOR BAHRU – Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Johor Bahru sedang mendapatkan maklumat lanjut mengenai waris atau orang yang layak dan sesuai bagi menjaga kanak-kanak yang dipercayai menjadi mangsa dera ibu kandung serta pasangannya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin-Nisa Ismail berkata, penilaian juga akan dilakukan bagi tujuan perlindungan sementara atau tetap selepas kanak-kanak tersebut discaj dari hospital.

“Saya turut berduka cita dengan khabar kes penderaan kanak-kanak berumur tujuh tahun
yang dipukul oleh ibu dan teman ibunya yang berlaku di Pasir Gudang.

“Saya juga dimaklumkan bahawa kanak-kanak tersebut telah dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru dan sedang menjalani rawatan.

“Kita sedang mendapatkan maklumat lanjut mengenai waris atau orang yang layak dan sesuai bagi menjaga kanak-kanak bagi tujuan perlindungan sementara atau tetap selepas kanak-kanak tersebut discaj dari hospital,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, wanita yang dipercayai mendera anak lelakinya yang berusia tujuh tahun beserta pasangannya, seorang wanita warganegara asing berperwatakan tomboy telah ditahan reman.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, ibu suspek yang berusia 27 tahun direman enam hari, manakala suspek berperwatakan tomboy berusia 30 tahun itu pula direman selama tujuh hari.

Sumber : Kosmo