Ibu Kandung, Rakan ‘Pengkid’ Tergamak Dera Budak 7 Tahun Sehingga Melecur

Foto: Kosmo

JOHOR BAHRU – Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun disyaki telah menjadi mangsa dera kepada ibu kandungnya sendiri, beserta seorang lagi rakannya yang berperwatakan ‘tomboy’.

Perbuatan itu terbongkar selepas jiran-jiran di kawasan kediaman berkenaan menerjah rumah pasangan tersebut di di sekitar Bandar Layangkasa, Pasir Gudang di sini.

Menurut sumber, ibu kanak-kanak tersebut merupakan seorang ibu tunggal yang berusia 27 tahun, manakala rakannya pula berusia 30 tahun.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak mengesahkan pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian itu yang dibuat orang awam, malam semalam.

“Sehubungan itu, polis menahan ibu kandung mangsa beserta rakan perempuannya, manakala kanak-kanak itu telah dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk mendapatkan rawatan.

“Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001,” katanya ringkas ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Sohaimi enggan mengulas lanjut sebaliknya memaklumkan Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat akan mengeluarkan kenyataan media lengkap berhubung kes berkenan.

Terdahulu, tular beberapa rakaman video menunjukkan orang awam menyerbu rumah berkenaan bagi menyelamatkan kanak-kanak yang dipercayai didera ibu kandungnya sendiri dan seorang rakannya.

Salah satu video yang tular turut menunjukkan bahagian badan belakang kanak-kanak itu yang mengalami kecederaan fizikal agak teruk, dipercayai kesan luka akibat melecur.

Walaupun dipercayai telah didera ibu kandungnya sendiri, kanak-kanak itu masih kelihatan berlindung dengan wanita berkenaan ketika orang awam menerjah kediaman tersebut. 

Sumber: Kosmo