Jemaah menteri potong dua bulan gaji untuk Tabung COVID-19

Dalam menyatakan sokongan buat negara jemaah menteri termasuk Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melalui kenyataan yang dimuatnaik di laman Facebook rasminya bersetuju untuk tidak menerima gaji selama dua bulan.

Sekaligus menyalurkan kesemua gaji tersebut ke dalam tabung COVID-19.

Melalui kenyataan itu juga, beliau mahu membuktikan kesungguhan kerajaan dalam membantu mereka yang terkesan dengan wabak maut ini.

“Mesyuarat kabinet pada 25 Mac 2020 telah memutuskan agar dua bulan gaji YAB Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan dipotong dan disalurkan ke Tabung COVID-19.

“Langkah ini bagi membuktikan kesungguhan kerajaan untuk membantu mereka yang menerima kesan akibat penularan wabak COVID-19.

“Tabung COVID-19 telah dilancarkan pada 11 Mac lepas sebagai usaha kerajaan membantu rakyat yang terjejas ekoran wabak itu,” tulisnya.

Sementara itu sehingga semalam sumbangan wang terkumpul termasuk geran kerajaan adalah sebanyak RM8,493,103.48.