Jangan bimbang, kebenaran rentas negeri tidak akan ditarik balik

KEBENARAN yang diberikan kerajaan bagi pergerakan rentas negeri tidak akan ditarik semula selepas ini walaupun berlaku peningkatan kes COVID-19.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan seumpama itu katanya hanya akan dilakukan secara bersasar mengikut kawasan yang terjejas dengan kes COVID-19.

“Apabila pembukaan ini dilakukan, maka ia akan diteruskan walaupun berlaku peningkatan (kes COVID-19).

“Kita tidak akan tutup keseluruhan, contohnya kalau kes di Langkawi, kita tidak akan tutup semua kawasan itu,” katanya.

Mengulas lanjut, kerajaan ketika ini sedang menumpukan ke arah fasa endemik bagi membuat persiapan untuk berdepan dengan kehidupan bersama wabak.

Semalam, kerajaan telah mengumumkan kebenaran rentas negeri berkuat kuasa hari ini seperti yang dinanti-nantikan buat seluruh rakyat Malaysia.

Bagaimanapun tegasnya, situasi ketika ini adalah menjadi tanggungjawab seluruh masyarakat dalam memastikan tahap pematuhan SOP dalam tahap yang terbaik berikutan jangkitan COVID-19 yang masih wujud.

Bukan setakat pergerakan rentas negeri malah perjalanan untuk keluar ke luar negara turut diberikan kebenaran oleh pihak kerajaan.

Mengenai pergerakan rentas negeri, tiada sebarang lagi sekatan jalan raya akan dikenakan namun pihak polis akan membuat pemeriksaan secara rawak melibatkan dos vaksinasi individu.